Bengkel Pengendalian Peralatan Digital

Bengkel Pengendalian Peralatan Digital

Bengkel Pengendalian Peralatan Digital telah berlangsung selama tiga (3) hari iaitu pada 29 -31 Januari 2009 (Khamis hingga Sabtu) di Kampus KUSZA, UDM dan sekitar bandaraya Kuala Terengganu.  Ia melibatkan semua pelajar Diploma Teknologi Maklumat (Multimedia) yang terdiri daripada Semester II, IV ,V, VI ,VII dan VIII. Manakala fasilitator terdiri daripada semua pensyarah dan felo Jabatan Multimedia, kakitangan Fakulti Informatik  dan kakitangan Unit Inovasi Multimedia dan Latihan, Pusat Teknologi Maklumat UDM yang terlibat secara langsung dengan pengendalian peralatan digital.

Bengkel yang dilaksanakan ini adalah usaha Jabatan Multimedia untuk memberikan kemahiran asas berkaitan pengendalian peralatan digital kepada pelajar sebelum menempuhi kursus yang berkaitan. Ianya juga sebagai kesinambungan kepada usaha Jabatan untuk mempertingkatkan Pengajaran dan pembelajaran (P&P) khasnya kursus Multimedia yang berkaitan dengan aspek praktikal dan teknikal kepada pelajar. Kemampuan pelajar memiliki kecekapan mengendalikan peralatan digital secara langsung menonjolkan ketrampilan di dalam pencapaian akademik.

Perlaksanaan bengkel ini adalah dalam bentuk sesi penerangan kepada peralatan digital iaitu kamera digital SLR dan video kamera digital serta diikuti oleh amali. Amali lapangan telah diadakan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu iaitu Taman Shahbandar, Kedai Pasar Payang, Kampung Cina, Pasar Malam Kampung Pak Katak serta Taman Monumen dan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam.